Thursday, August 22

7 Bulan Tiada Tawaran Nyanyian, Syura Gigih Cari Rezeki Demi Anak-Anak

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Kehidupan sebagai artis tidaklah semudah yang disangka. Kalau hari ini mereka di atas, esok belum tentu lagi mereka di situ.

Pasang surut dalam dunia hiburan, perkara lazim dalam kehidupan seorang artis. Begitulah yang dialami oleh peserta Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4), Syura Badron.

Bukan setahun dua dalam industri hiburan, tetapi sudah 16 tahun Syura bergelumang dalam dunia nyanyian. Pada satu ketika, namanya pernah bersinar dengan  lagu berujudul Nazam Berkasih.

Menurut Syura, dia pernah menempuhi fasa sukar sebagai seorang penyanyi. Sebagai ibu tunggal, dia perlu bekerja keras sementelah anak-anak sumber kekuatannya.

 “Pernah saya melalui fasa sukar dalam dunia nyanyian. Satu ketika dahulu, hampir tujuh bulan saya tidak menerima sebarang tawaran nyanyian. Namun begitu, rezeki itu tetap ada tetapi di bidang lain.

“Alhamdulillah, kebolehan memasak, pengalaman di Masterchef Selebriti dan ilmu dalam bidang kulinari yang saya pelajari di UNITAR dahulu tidak saya persiakan. Saya pula tidak boleh duduk diam sekiranya tiada tawaran nyanyian.

“Saya melibatkan diri dalam perniagaan makanan yang saya usahakan sendiri iaitu Bekal Mak Kita. Saya tidak akan putus semangat kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Peluang yang diberi untuk menyertai GV4 digunakan sebaik mungkin untuk dikenali semula. Malah, dia berterima kasih kepada semua yang terlibat dan berharap penglibatannya kali ini membuktikan dia seorang penyanyi serba boleh.

 “Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami keadaan saya dan itu membuatkan saya rasa sangat bersyukur. Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyertai GV4.

“Saya mahu jadikan GV4 ini sebagai batu loncatan untuk mencari rezeki demi anak-anak. Selain itu, saya juga mahu mengubati kerinduan untuk beraksi sebagai penyanyi.

“Jika sebelum ini, saya dikenali sebagai penyanyi yang sinonim dengan lagu Irama Malaysia, saya mahu mengubah persepsi itu. Saya mahu menjadi penyanyi serba boleh,” katanya lagi. –LUBUKCERITA

Sumber: Gempak Astro

Share.

About Author

Leave A Reply