Monday, June 17

Berperangai Pelik, Iqram Dinzly Tidak Ambil Peduli Kata Orang

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Baru-baru ini pelakon Iqram Dinzly terpalit dengan beberapa kontroversi apabila berperangai pelik dan berkongsi gambar swafoto di kubur ayahnya di Instagram.

Malah dia juga berswafoto dengan ayahnya, Muhammad Saipuddin Ahmad Said ketika terlantar sakit. Perbuatannya itu mengundang kecaman dan ada pihak yang mengatakan dia berperangai pelik.

“Saya tak ambil peduli apa kata orang luar. Sekiranya saya gila pun, saya nak jadi ahli syurga. Orang kata saya gila, tapi bagi saya semuanya jelas. Saya buat apa yang saya rasa, itu yang dilakukan.

“Berkenaan dengan gambar swafoto di kubur saya tiada niat apa-apa pun. Ia sekadar untuk peringatan dan kesedaran kepada diri sendiri dan orang luar.

“Tidak semestinya kita menziarahi kubur hanya datang sahaja. Dalam Islam kita tidak boleh terlalu bersedih selepas kematian seseorang.

“Walaupun saya senyum tapi hati sedih tidak ada siapa yang tahu. Cuma saya kena kuat mengharungi semua yang terjadi,” jelasnya ketika ditemu bual oleh mStar Online.

Selain itu Iqram juga ditanya berkenaan dengan pemakaian serban yang sering dipakainya. Menurut Iqram, apa yang dipakainya itu bukan serban sebalik benda lain.

“Serban? Saya tidak pernah mengatakannya serban. Namun saya perkenalkannya sebagai ‘Iqrat Kapla’ (ikat kepala). Saya tak boleh beri jawapan untuk soalan itu. Biarlah rasa dan biarlah masa yang menentukan. Apa yang saya boleh katakan, saya akan melakukan satu transfomasi dalam kehidupan. Perkara ini bukan isu yang besar,” tegasnya.

Iqram juga mengulas perihal kritikan netizen dengan kelakuannya dengan mengatakan dia sangat kecewa. Katanya netizen cepat menjatuhkan hukum dan menggelarkan netizen sebegitu sebagai parasit.

“Saya kecewa dan marah sangat-sangat dengan netizen. Terlalu ramai yang menjadi ustaz dan ustazah jadian sedangkan bila diperhatikan semula, ruangan Instagram orang yang ‘jatuh hukum’ ini pun tidak melambangkan sepenuhnya seorang muslim.

“Kecam orang sesuka hati dan lepas itu akaun privasi. Ini namanya kulat parasit. Mereka tidak ada kesedaran dalam berbudi bahasa,” katanya yang mahu berehat sebentar daripada dunia lakonan. –KLICK.MY

 

 

Share.

About Author

Leave A Reply