Thursday, August 22

Dikritik Hebat, Busana Nasi Lemak Daun Pisang Cetus Kontroversi

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Semalam kecoh di laman sosial mengenai pertikaian dan kritikan netizen mengenai busana ‘nasi lemak duan pisang’  yang digayakan oleh model, Samantha Katie James.

Busana unik rekaan Brian khoo itu akan dibawa ke pertandingan Miss Universe 2017 bagi melambangkan identiti Malaysia. Namun, baru sahaja diperkenalkan kepada umum, ia telah mendapat kritikan hebat daripada netizen.

Bukan sahaja netizen yang merpertikaikannya, tetapi juga pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat turut menyelar konsep rekaan tersebut di Instagramnya.

Menurut Hatta, dia hampa apabila rekaan seperti ini yang dihantar untuk mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij itu. Dalam nada sinis, dia juga menyindir agar menggunakan daun pisang segar agar tidak layu apabila sampai ke sana nanti.

Tambah Hatta lagi, daripada mengetengahkan konsep nasi lemak tersebut, lebih baik ketengahkan kain songket yang mempunyai nilai lebih tinggi dan mempunyai elemen tradisional.

Berdasarkan gambar-gambar yang tersebar, busana tersebut menggunakan gaun putih sebagai gambaran nasi lemak dihiasi dengan manik berwarna merah seolah-olah ia sambal selain disertakan replika ikan bilis, telur rebus dan timun.

Manakala bahagian belakang gaun itu pula terdapat rekaan dua helai daun pisang. Miss Universe 2017 edisi ke-66 bakal berlangsung pada penghujung November ini di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly pada sidang media memperkenalkan busana itu memberitahu nasi lemak dipilih kerana ia menggambarkan identiti negara ini.

Kata Elaine, tema tradisional seperti songket dan batik sudah beberapa kali digunakan sebelum ini dan sudah tiba masanya Malaysia tampil dengan sesuatu yang segar namun masih mengekalkan ciri-ciri Malaysia.

Dalam pada itu, Brian ketika bercakap kepada The Star memberitahu, busana nasi lemak itu mengambil masa 400 jam untuk disiapkan selama sebulan.

Ditanya mengenai inspirasinya dalam mereka pakaian tersebut, Brian berkata, dia dan pasukannya ingin tampil dengan sesuatu yang unik dan ikonik pada pertandingan tahun ini.

“Nasi lemak adalah makanan yang hanya boleh didapati di Malaysia dan ia hidangan yang disukai oleh semua orang.

“Kami merasakan ia adalah pakaian yang tepat untuk menggambarkan keunikan Malaysia,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

 

Share.

About Author

Leave A Reply