Thursday, August 22

ESSCOM Anggap Dakwaan Hairul Nyaris Diculik Sebagai Tidak Berasas!

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

FILEM PASKAL yang ditunggu-tunggu akhirnya bakal ditayangkan di pawagam pada 27 September depan.

Filem ini mengisahkan pahit getir perjuangan Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga keamanan dan keselamatan perairan negara.

Ia menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna dan Maghribi.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Hairul Azreen, Ammar Alfian, Datuk Seri Eizlan Yusof, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Namun, belum lagi ditayangan filem ini sudah mengundang kontroversi apabila salah seorang pelakonnya iaitu Hairul mendakwa dia dan Ammar nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem PASKAL di Semporna, Sabah pertengahan tahun lalu.

Hairul mendakwa, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar yang masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun itu mahu menjadikan mereka sasaran penculikan.

Berikutan dakwaan itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyifatkan kenyataan Hairul sebagai tidak berasas.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta kru disertai oleh pasukan keselamatan terlatih, Pasukan Khas Laut (PASKAL).

“Saya percaya tidak ada cubaan melakukan culik kepada mereka. Kenyataan itu mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Kenyataan pelakon ini juga amat mengelirukan walaupun ia mungkin hanya gimik promosi filem dan janganlah menggunakan kenyataan ini hanya untuk publisiti murahan bagi menarik minat penonton yang dijangka ditayangkan September depan.

“Setakat ini rekod menunjukkan tidak ada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang 2017 dan 2018 (di pantai timur Sabah),” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hazani meminta semua pihak supaya berhati-hati membuat kenyataan terutama membabitkan isu keselamatan negara.

“Tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab menimbulkan kenyatan tidak benar serta mendatangkan kegusaran masyarakat dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali di kawasan ESSZONE.

“Oleh itu, saya meminta pelakon itu supaya tampil membuat laporan polis supaya pihak ESSCOM dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pengajaran buat semua, hati-hati ketika mengeluarkan kenyataan walaupun bertujuan untuk gimik terutamanya soal keselamatan negara kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. –LUBUKCERITA

Sumber: Berita Harian Online

Share.

About Author

Leave A Reply