Wednesday, December 11

Fazura Terima Anugerah Emas, Album Terjual 5,000 Unit Dalam Sehari

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu hari ini, bukan mudah sesebuah album rakaman penyanyi tempatan untuk mencatat jualan memberangsangkan.

Namun siapa menyangka penyanyi yang bermula dari bidang lakonan, Fazura berjaya mendapat jualan album mencapai 5,000 dalam sehari ia dilancarkan.

Kejayaan itu membuatkan dia dikurniakan anugerah emas oleh syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia pada majlis pelancaran album berjudul FAZURA itu di Hotel One World, semalam.

Terharu, sebak dan tidak menyangka sambutan baik oleh peminatnya, Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 itu mengalirkan air mata tatkala menerima anugerah itu.

Menurut Fazura, dia amat terharu apabila mengenangkan cemuhan dan kecaman sesetengah pihak serta cabaran yang terpaksa ditempuhinya ketika proses merakamkan album berkenaan.

“Saya pernah dikecam dan dikritik oleh mereka yang tidak senang melihat saya menyanyi. Namun tak mengapa, saya anggap semua itu sebagai doa dan juga pembakar semangat untuk terus berjaya.

“Saya bekerja keras untuk album ini, saya letih, penat, mengantuk kerana jadual yang padat sepanjang tahun tapi saya tetap tidak berhenti dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Ketika mempersembahkan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, Fazura dilihat tidak dapat menahan sebak apabila mengalirkan air matanya ketika menyanyikan lagu itu.

Album sulungnya yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu memuatkan sembilan lagu, antaranya Hanya Tuhan Yang Tahu, Bangun, Bisa Apa, Cinderella, Cinta Langka dan Only God Knows.

Single pertamanya, Sayangi Dirimu, yang dirakam semula dalam bentuk akustika turut dimuatkan dalam album itu.

Dalam majlis tersebut Fazura diumumkan sebagai duta baru Sahajidah Hai-O Marketing selama setahun.

Ditanya mengenai perlantikan itu, Fazura sangat teruja untuk bekerjasama sepanjang tahun hadapan kerana dia bakal mempromosikan pelbagai produk kecantikan termasuk diberi peluang berkongsi citarasa dalam penghasilan kasut dan beg tangan syarikat tersebut.

Aktres itu turut mendedahkan bakal berduet dengan dua bintang antarabangsa namun enggan mendedahkan siapa orangnya sehingga Disember.

Sementara itu, pengasas Kumpulan Hai-O, Tan Kai Hee menyatakan pemilihan Fazura selaku duta baru Sahajidah Hai-O Marketing berdasarkan ciri-ciri berbakat besar, bergaya, dan merupakan role model bagi ramai wanita yang bekerja keras dalam hidup mereka. –KLICK.MY

Share.

About Author

Leave A Reply