Monday, June 17

Hafiz, Joy Cerai Talak Satu, Hubungan Kelamin Disahkan Tidak Berlaku

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Lima bulan berkahwin, seminggu tinggal sebumbung, akhirnya rumah tangga penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa berakhir dengan talak satu hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling.

Hafiz, 33, melafazkan talak satu terhadap Joy Revfa atau Siti Arifah Amin pada pukul 4.10 petang selepas Hakim Syarie, Shukran Yusof membenarkan permohonannya untuk bercerai secara baik.

Umum mengetahui kisah rumah tangga pasangan itu hangat diperkatakan seluruh netizen mahupun masyarakat kerana pergaduhan mereka di media sosial berhubung status Joy yang dikatakan masih isteri kepada bekas suami lamanya.

Selain isu tersebut, isu lain yang turut menjadi bualan hangat apabila Joy menyatakan hubungan kelamin berlaku sedangkan Hafiz menafikan kenyataan itu.

Pada prosiding hari ini, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tidak berlaku hubungan kelamin semasa mereka bergelar suami isteri itu.

Perceraian mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 itu difailkan Hafiz pada 12 Oktober lepas.

Hakim Syukran memutuskan pasangan itu bercerai talak bain sughra yang menjadikan sekiranya pasangan itu ingin rujuk semula, mereka perlu bernikah semula dengan mahar yang baru atas faktor tidak berlaku hubungan kelamin semasa berkahwin.

Mahkamah turut merekodkan persetujuan kedua-dua pihak iaitu Joy tidak akan menuntut sebarang tuntutan dan Hafiz juga tidak akan menuntut separuh mahar dan ganti rugi perkahwinan.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang memutuskan perkahwinan pasangan itu sah setelah kes pengesahan nikah dan cerai Joy Revfa dengan suami terdahulu Mohd Rayus adalah sah.

Joy Revfa ketika ditemubual di luar mahkamah menyatakan dia sangat bersyukur dengan keputusan itu dan akan meneruskan hidupnya bersama anak lelaki hasil perkahwinan pertamanya dan akan mengerjakan umrah tidak lama lagi.

Sementara Hafiz turut melahirkan rasa lega dan syukur selesainya kemelut rumah tangganya itu, dia mengaku belajar banyak perkara daripada peristiwa itu dan telah lama memaafkan Joy dan turut meminta maaf atas kesilapannya selama ini.

Menurut Hafiz dia dan keluarganya bersikap positif dan percaya terdapat hikmah di atas semua yang berlaku. –KLICK.MY

Share.

About Author

Leave A Reply