Monday, September 23

Isteri Bekas ADUN Melor Kekal Bebas Tuduhan Perdagang Amah

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Isteri bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor kekal bebas daripada pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia.

Ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam hari ini memutuskan mengekalkan pembebasan Siti Madinah Ilias Khan daripada pertuduhan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.

“Kami dapati rayuan pihak pendakwaan tiada merit. Rayuan pihak pendakwaan ditolak,” kata Zakaria yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bahru yang membebaskan Siti Madinah terhadap tuduhan itu di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Siti Madinah, 56, dituduh memperdagangkan Riamis, 42, bagi maksud eksploitasi dengan tidak membayar gaji wanita itu yang merupakan pembantu rumahnya selama dua tahun selain mencederakan wanita tersebut dengan cara memukulnya di rumahnya di Taman Desa Telipot, Kota Bharu antara September 2013 dan 26 Mei 2015.

Pada 20 Jun 2016, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Siti Madinah daripada pertuduhan itu tanpa memerintahkannya membela diri dan keputusan itu juga dikekalkan Mahkamah Tinggi Kota Bahru.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah bahawa Siti Madinah patut dipanggil untuk membela diri terhadap tuduhan kerana terdapat elemen paksaan berdasarkan kecederaan yang dialami pembantu rumah itu serta tidak dibayar gaji.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Siti Madinah berkata tidak ada paksaan dan eksploitasi kerana Riamis sendiri yang memujuk anak guamnya untuk duduk dan bekerja di rumahnya.
Siti Madinah ialah isteri kepada bekas ADUN Melor Wan Ismail Wan Jusoh.- Bernama

Share.

About Author

Leave A Reply