Monday, September 23

Lelaki Bunuh Diri Selepas Serang Sepasang Suami Isteri Dengan Parang

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

SEPASANG suami isteri cedera selepas diserang oleh lelaki bersenjatakan parang yang seolah-olah sedang dirasuk ketika menjalankan upacara rawatan tradisional di Kluang, Johor.

Suspek kemudian membunuh diri dengan menikam tubuhnya.

Mangsa seorang pesara berusia 47 tahun dan isterinya, 41, turut cedera ringan terkena libasan parang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata laporan kejadian diterima kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

“Mangsa wanita itu menghubungi talian kecemasan memaklumkan diserang dengan parang bersama suaminya oleh suspek dalam kejadian di Taman Kiara Mas 2, dekat sini.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah institusi kewangan itu adalah adik angkat pesara berkenaan yang tinggal di Taman Sri Impian, dekat sini dan kerap bertandang.

“Suspek datang bersendirian ke rumah pesara itu untuk merawat isterinya dan menjalankan upacara perubatan dalam sebuah bilik.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan seperti dirasuk secara tiba-tiba dan cuba mencederakan pasangan itu dengan parang sebelum pasangan itu melarikan diri dari bilik terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Abduh berkata, suspek masih berada dalam bilik berkenaan ketika sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang tiba di tempat kejadian, namun usaha memanggilnya keluar tidak berhasil.

Katanya, anggota polis memecahkan pintu bilik dan menemui suspek terlentang sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia sudah meninggal dunia, dipercayai membunuh diri berdasarkan kesan tikaman di dada serta perut.

Beliau berkata, polis turut menemui sebilah keris di belakang tubuh suspek dan masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. –LUBUKCERITA

Share.

About Author

Leave A Reply