Monday, June 17

Mangsa Keganasan Rumah Tangga, Balkisyh Buat 14 Laporan Polis

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

KEMELUT yang berlaku antara pelakon drama Mak Cun, Balkisyh Semundur Khan dengan bekas suaminya menjadi perhatian umum pada bulan lalu apabila videonya menendang bekas suami tular di media sosial.

Berkaitan: Tular Video Tendang Bekas Suami, Balkisyh Tampil Beri Penjelasan

 

Sejak itu, kisahnya mula menjadi perhatian sementelah Balkisyh popular dengan watak Atul dalam drama bersiri tersebut.

Alang-alang sudah diketahui umum dan bercerai, Balkisyh mengambil keputusan untuk mendedahkan apa yang berlaku dalam rumah tangganya satu ketika dulu bersama bekas suami.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang 11 tahun berkahwin.

Dakwanya, walaupun pada luaran rumah tangganya nampak bahagia, hakikatnya dia terpaksa menyembunyikan penderitaan itu selain pernah membuat 14 laporan polis terhadap bekas suaminya.

“Selama ini, saya memang merahsiakan masalah rumah tangga kepada umum kerana ingin menjaga aib kedua-dua belah pihak. Bagi saya, selagi masih ada ikatan suami isteri saya perlu sembunyikan masalah dalaman dihadapi.

“Bagaimanapun selepas sah bercerai September tahun lalu barulah saya berani bersuara mengenai apa dilalui selama ini.

“Sebenarnya sepanjang tempoh itu perkahwinan kami tampak bahagia hakikatnya ia hanya dua tahun pertama. Sembilan tahun lagi menderita dan selama itu juga sebanyak 14 laporan polis saya buat dan ada terpaksa ditarik balik,” katanya.

Balkisyh dan Mohd Aizad Rosli berkahwin pada 2007 dan sah bercerai pada 5 September tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 7, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 2.

Tidak cukup dengan penderitaan tersebut, kehidupannya bertambah parah selepas bercerai apabila ditinggalkan sehelai sepinggang.

Malah lebih menyedihkan, dia terpaksa menumpang rumah jiran kerana tiada wang untuk meneruskan hidup.

“Selepas bercerai saya ditinggalkan dengan akaun kosong, hutang rumah, kereta tertunggak selama empat bulan dan rumah pula dikunci.

“Saya dan anak-anak terpaksa menumpang simpati di rumah jiran selama empat hari kerana bekas suami tak beri masuk ke rumah terbabit.

Selepas itu saya terpaksa berjuang mencari duit membayar hutang piutang ditinggalkan begitu saja,” ceritanya yang tidak mempunyai keluarga atau saudara-mara di Kuala Lumpur.

Tidak sangka dalam keceriaan dan sifat kelam kabut ‘Atul’ dalam drama Mak Cun, terselit kisah yang meruntun hati.

Semoga Balkisyh dimurahkan rezeki dan dapat menjaga serta mendidik anak-anak hingga berjaya. –LUBUKCERITA

Sumber: Harian Metro Online

Share.

About Author

Leave A Reply