Thursday, August 22

Menyeramkan! Lelaki Ini Sanggup Ubah Wajahnya Menjadi Seperti Tengkorak

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

SEBUT sahaja tengkorak pasti ramai yang takut dan seram. Namun, ada seorang lelaki berusia 22 tahun dari Colombia amat mencintai tengkorak.

Malah, disebabkan ketaksubannya terhadap tengkorak dia sanggup mengubah wajahnya kelihatan seperti tengkorak.

Kalaca Skull yang merupakan seorang pengukir tatu telah menjadi tajuk berita di seluruh Amerika Selatan kerana menjalani prosedur pembedahan ekstrim untuk mendapatkan wajah seperti tengkorak.

Menurut pemilik nama sebenar, Eric Yeiner Hincapié Ramírez ini, dia jatuh cinta dengan tengkorak sejak kecil tetapi hanya mula mengubah wajahnya selepas kematian ibunya dua tahun lalu kerana ibunya tidak pernah bersetuju dengan idea tersebut.

Mula-mula sekali, dia membuang separuh bahagian bawah hidungnya kerana tengkorak tidak mempunyai hidung.

Tengkorak juga tidak mempunyai telinga, jadi dia melakukan pembedahan memotong telinga.Tetapi transformasinya tidak terhenti di situ.

Selepas memotong dan membuat tatu berwarna biru-kelabu di lidahnya, dia juga melukis tatu hitam besar di sekitar matanya, selain gigi besar di sekeliling mulut dan pipinya.

Kalaca Skull adalah orang pertama di Colombia yang secara sukarela mahukan hidung dan telinganya cacat, keputusan yang menarik perhatian media serta banyak mendapat kritikan daripada orang awam.

Walaupun mendapat kritikan hebat, Kalaca Skull merancang prosedur lain untuk menyempurnakan transformasinya menjadi tengkorak hidup. Dia memanggil transformasi ini sebagai satu mimpi menjadi kenyataan.

“Bagi saya, satu tengkorak itu seperti kakak saya, sebahagian daripada keluarga saya, saya rasa sangat dekat dengannya,” kata pemuda Colombia itu dalam satu temu bual.

Menurutnya lagi, sebab utama mengapa dia memilih untuk menjadikan dirinya kelihatan seperti tengkorak kerana semua orang berkongsi ‘rupa’ yang sama di bawah kulit wajah dan semasa kematian.

Kalaca Skull juga mengakui penampilannya yang luar biasa membuatkan ramai orang tidak selesa. –LUBUKCERITA

Share.

About Author

Leave A Reply