Monday, June 17

Mimpi Telur Jatuh, Esoknya Alat Sulit Bertukar-Ayu

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Seorang lelaki dari Indonesia terkejut apabila isteri yang dikahwini sejak beberapa bulan lalu rupa-rupanya adalah lelaki.

M Fadholi, 21, berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Ayu Puji Astutik, 23, dalam satu majlis yang meraih pada 19 Julai lalu.

Perkahwinan mereka itu juga turut didaftarkan di Pejabat Urusan Agama (KUA) di Ajun selepas pasangan berkenaan mengemukakan borang berkahwin dan dokumen pengenalan diri.

Setelah mendirikan rumah tangga, mereka tinggal bersama di Dusun Plalangan, Desa Glagahwero. Seperti mana pasangan lain yang baru berkahwin, mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Selama itu, tiada apa-apa yang mencurigakan.

Bagaimanapun setelah memasuki bulan ketiga, jiran-jiran mula berasa curiga dan bertanyakan status Ayu. Perasaan curiga itu mula timbul apabila jiran-jiran mendengar suara Ayu yang kedengaran seperti suara lelaki. Akan tetapi, Fadholi tampil menjelaskan bahawa isterinya adalah wanita yang tulen.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, seorang jiran telah membuat aduan kepada pihak KUA mengenai perkara itu. Pihak KUA yang terkejut dengan aduan itu, lalu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Pasangan itu kemudian ditahan. Ketika disoal siasat, Ayu mendakwa dia sememangnya dilahirkan sebagai perempuan, namun jantinanya berubah selepas berkahwin.

“Sumpah encik. Saya wanita asli, saya boleh membuktikannya. Saya memang sudah lama difitnah. Saya memang dilahirkan sebagai wanita, saya berani bersumpah.

“Tidak lama selepas berkahwin dengan Fadholi, saya bermimpi ada telur jatuh dan makhluk halus. Apabila saya terjaga, saya dapati alat sulit saya bertukar,” jelasnya.

Penjelasan yang tidak boleh diterima akal itu membuatkan pihak polis terus mendesak Ayu untuk berterus terang. Akhirnya Ayu mengakui bahawa dia telah memalsukan kad pengenalan dirinya semata-mata untuk berkahwin dengan Fadholi. Nama sebenar Ayu adalah Syaiful Bahri.

Dalam pengakuannya, Syaiful mengakui dia memiliki keinginan untuk membuat operasi pertukaran jantina tetapi terbantut kerana kos pembedahan itu di luar kemampuannya.

Ekoran pengakuan itu, Pejabat Urusan Agama kini dalam proses menyiapkan dokumen bagi membatalkan perkahwinan pasangan songsang berkenaan.

Fadholi dan Syaiful Bahri kemudian ditahan dan akan didakwa atas perbuatan sengaja memalsukan dokumen diri, yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam tahun.

Selain itu mereka juga akan didakwa kerana membuat keterangan palsu dan bakal menerima hukuman penjara selama tujuh tahun. –KLICK.MY

Share.

About Author

Leave A Reply