Monday, June 17

Nak Bawa Pasangan OKU Tonton Wayang? Baca Dahulu Posting Ini

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

DALAM hidup ini tak semua manusia bernasib baik. Kadangkala ada yang ditakdirkan daripada sihat menjadi golongan kelainan upaya. Namun ujian ini bukan penghalang untuk para OKU atau insan sekeliling mengasingkan diri dari dunia luar.

Bagi seorang isteri gigih Raudzah Arippin, keadaan suaminya yang merupakan OKU sama sekali bukan penghalang untuk mereka menjalani aktiviti seperti keluarga normal lain termasuk keluar menonton wayang.

Barangkali apa yang dilakukan oleh beliau tidak banyak dilakukan oleh pasangan OKU lain jadi panduan yang dikongsikan olehnya menerusi satu posting di Facebook ini, pastinya boleh membantu orang lain yang ingin melakukan perkara sama.

Tidak semestinya untuk golongan yang sudah sedia menjalani hidup berkerusi roda, panduan diberikan Rauzah ini boleh dijadikan manfaat jika satu hari kita mengalami kemalangan dan terpaksa menjadi OKU buat sementara waktu namun teringin keluar menonton wayang bukan?

Jom lihat perkongsian berguna daripada beliau:

Semalam saya bawa suami dan anak-anak menonton Tombiruo di GSC, Alamanda.Setakat ini yang kami tahu, hanya GSC yang ada menyediakan kemudahan menonton wayang untuk OKU berkerusi roda.

Jadi kalau ada antara rakan-rakan yang mahu bawa orang kelainan upaya jagaan mereka, atau ibu bapa yang berkerusi roda, boleh cuba bawa menonton di GSC.

Ini antara info yang boleh saya kongsikan :

1. Tidak semua panggung GSC ada kemudahan untuk OKU. Anda boleh periksa di laman web mereka, www.gsc.com.my. Setakat ini saya sudah bawa suami di GSC One Utama dan GSC Alamanda.

2. Tiket untuk OKU adalah lebih murah dari tiket biasa. Jika semalam kami menonton Tombiruo, tiket dewasa biasa berharga RM16, tiket OKU pula berharga RM9.50.

3. Sedikit terkilan kerana tiket untuk OKU (untuk tempat duduk di bahagian berkerusi roda) tidak boleh ditempah secara online. Bahagian yang kena pilih tempat duduk itu, tidak boleh klik pula pada tempat OKU. Geram betul. Haha. Kami telah hubungi pihak GSC, kata mereka memang tiket untuk OKU perlu dibeli di kaunter.

4. Oleh kerana ruang untuk kerusi roda terletak di bahagian atas (belakang) sekali, apa yang boleh dibuat, penjaga OKU dan keluarga yang lain boleh beli dahulu tiket secara online dan tempah tempat duduk yang paling hampir dengan ruang untuk kerusi roda.

5. Waktu mahu masuk ke panggung, maklumkan kepada petugas dan mereka akan bantu bawa OKU berkerusi roda naik ke panggung menggunakan satu lif kecil khas. Lif ini tidak boleh digunakan oleh orang biasa. Lif memang muat-muat untuk satu kerusi roda dan seorang penjaga sahaja.

6. Jangan risau jika OKU perlu keluar sebentar dari panggung atau perlu ke bilik air, kerana kedudukan mereka dekat dengan pintu keluar dan kemudahan tandas OKU juga ada.

7. Waktu keluar dari panggung juga, gunakan laluan (lif) yang sama ketika naik ke panggung. Tidak perlu risau perlu menolak mereka jauh seperti laluan penonton lain.

Raudzah bersama suami dan anak-anak.

Panduan tambahan untuk yang pertama kali mahu bawa OKU jagaan mereka menonton wayang.

* Pastikan OKU tahan untuk duduk lama di kerusi roda. Jika ada kusyen ROHO, sila bawa sekali, jangan lupa. Resah mereka nanti. Hehe.

* Pastikan juga OKU boleh terima kesan bunyi yang kuat.

* Bawa baju tebal dan pakaikan mereka sarung kaki.

* Jangan lupa ubat-ubatan yang sepatutnya juga jika berlaku kecemasan.

Semoga info ini dapat membantu rakan-rakan penjaga pesakit yang lain. Sekali sekala boleh menonton wayang pula sekeluarga. 

Ok, layan gambar-gambar semalam.

Raudzah memberi 5 bintang untuk filem Tombiruo!

Oh, TOMBIRUO memang best! Berbaloi menonton filem Melayu begini. Tahniah buat seluruh team produksi dan penerbit. Kak Odah beri 5 bintang berkelip kelip! 😄

#tombiruo

Kami memang salute sangat dengan semangat positif yang ditunjukkan oleh Raudzah ini. Mudah-mudahan Tuhan mengurniakan kita semua dengan insan terapat yang memiliki hati mulia seperti beliau andai ditakdirkan mendapat ujian seperti suaminya.

Buat mereka yang ingin membawa pasangan atau ahli keluarga OKU menonton wayang, diharapkan perkongsian Raudzah yang kami panjangkan ini dapat memberi manfaat. – KLICK.MY

SUMBER: Facebook Raudzah Arippin

Share.

About Author

Leave A Reply