Monday, June 17

Pasport Singapura Paling Berkuasa, Malaysia Keenam

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

SINGAPURA – Negara kecil, Singapura kini memiliki pasport paling berkuasa di dunia dengan rakyatnya boleh melawat paling banyak negara tanpa memerlukan visa, demikian menurut senarai kedudukan baharu Indeks Pasport.

Senarai itu dibangunkan oleh firma perunding global, Arton Capital.

“Buat pertama kali, sebuah negara Asia mempunyai pasport yang paling berkuasa di dunia,” kata pengarah urusan pejabat Arton Capital di Singapura, Philippe May dalam satu kenyataan.

Indeks Pasport yang memantau kebolehgunaan dokumen tersebut me­nyatakan, Singapura merampas tempat teratas selepas Paraguay membatalkan halangan terhadap rakyat pulau itu.

Perkembangan itu bermakna kira-kira 3.4 juta pemegang pasport Singapura boleh melakukan perjalanan ke 159 buah negara sama ada tanpa visa atau mendapatkannya selepas ketibaan mereka.

Jerman berada di tempat kedua de­ngan rakyatnya boleh mengunjungi 158 negara tanpa visa, manakala Sweden dan Korea Selatan terikat di kedudukan ketiga.

Pasport Malaysia pula berkongsi kedudukan keenam bersama Amerika Syarikat (AS), Ireland dan Kanada.

Tempat tercorot milik Afghanistan dengan rakyat negara bergolak itu boleh melawat 22 buah negara sahaja.

Indeks Pasport menyenaraikan kedudukan pasport di seluruh dunia berdasarkan keupayaan akses rentas sempadan pemiliknya. – AFP

Share.

About Author

Leave A Reply