Thursday, April 25

Salma Bersyukur Perjalanan Kerjayanya Semakin Positif

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Pernah menjadi protégé kepada primadona Erra Fazira dalam pertandingan Mentor pada tahun 2011 dan seterusnya bergelar juara.

Sejurus selepas itu, dia mula merakamkan beberapa buah lagu. Namun, namanya dalam dunia nyanyian dilihat seakan tenggelam.

Kemudian pada tahun 2016, penyanyi dari Sabah bernama Salma atau nama penuhnya Salma A.Asis muncul kembali dengan semangat dan cita-cita baru.

Salma kembali berentap dan memasuki sebuah pertandingan nyanyian yang dikenali sebagai 3 Juara di bawah bimbingan komposer terkenal, Ajai. Langkahnya memasuki pertandingan tersebut dilihat berjaya menggilap kembali namanya apabila berjaya menjadi juara.

Pelbagai dugaan dan kontorversi dilaluinya sepanjang terlibat dalam dunia seni. Namun, berkat kesungguhan dan impian, Salma gagahi menempuh halangan tersebut.

Kini dia bangkit dan terus menapak ke hadapan. Sesekali dia menoleh ke belakang untuk menyedarkan diri agar berpijak di bumi yang nyata dan tidak lalai.

Menurut Salma yang ditemui di majlis pelancaran MTV karaoke lagu Akhirnya Cinta di pusat membeli-belah terkenal di Damansara Utama, dia tidak pernah putus asa dalam mengejar impian.

Malah, dia sentiasa berfikiran positif dan menganggap perjalanannnya dalam dunia seni sebelum ini yang agak perlahan, sebagai batu loncatan untuk lebih berkerja keras.

“Selepas menjuarai Mentor pada 2011, karier saya masih tak ke mana. Selepas itu saya pun menghilang sekejap.

“Tapi kini Alhamdulillah, semuanya semakin baik. Orang pun mula menyedari bakat saya dan menerima kehadiran saya sebagai penyanyi,” katanya kepada media.

Sementara itu, Salma ditanya mengapa baru sekarang lagu Akhirnya Cinta ciptaan Ajai baru dihasilkan dalam bentuk muzik video. Menurutnya, kelewatan itu disebabkan mahu menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan terbaik.

“Selepas tujuh bulan single dilancarkan baru terbitkan video muzik sebab saya mahukan hasil yang terbaik.

“Konsepnya pula sangat unik. Hanya saya seorang sahaja dalam video itu dan ia lebih fokus pada ekspresi saya,” jelasnya yang akan tampil dengan sebuah lagi single baharu ciptaan Ajai pada Disember depan.

Akhirnya Cinta mendapat perhatian setelah dipilih menjadi lagu runut bunyi bagi drama Ku Kirim Cinta lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli.

Malah, Salma juga bersyukur kerana lagu tersebut tersenarai untuk bertanding di peringkat separuh akhir Muzik Muzik pada 29 Oktober ini. –KLICK.MY

Foto: Zahiryn

Share.

About Author

Leave A Reply