Wednesday, July 24

Silap Pentadbiran Punca Panglima Tentera Indonesia Dihalang Ke AS

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

JAKARTA – Panglima angkatan tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo dilarang berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu berikutan ‘kesilapan pentadbiran, kata Kedutaan AS di Jakarta dalam kenyataan secara online semalam.

Gatot baru hendak menaiki sebuah penerbangan ke AS Sabtu lalu apabila diberitahu bahawa Agensi Kastam dan Perlin­dungan Sempadan tidak membenarkannya memasuki negara berkenaan sekali pun beliau memiliki visa dan undangan rasmi daripada Pengerusi Ketua Staf Bersama bagi menghadiri satu persidangan di Washington.

 “Gatot dan isterinya tergendala dalam usaha untuk menaiki penerba­ngan mereka kerana kesilapan administratif.

Kesilapan ini segera diperbetulkan. Kami juga mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak perkara ini berulang,” kata Kedutaan AS dalam kenyataannya tanpa mengulas lanjut.

Insiden itu mendorong beberapa pegawai kanan AS termasuk Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis dan duta Washington di Jakarta memohon maaf ketika negara itu menuntut penjelasan mengapa Gatot disekat sedangkan beliau sudah beberapa kali berkunjung ke AS atas urusan rasmi.

Jeneral berkenaan akhir­nya diberi kebenaran mengunjungi AS tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

Bercakap kepada pemberita kelmarin, Gatot berkata, beliau tidak menaiki penerbangan seterusnya kerana telah memaklumkan insiden itu kepada Presiden Joko Widodo.

“Tiada lampu hijau dari­pada Joko, justeru saya tidak lagi berminat untuk meneruskan perjalanan ke AS selepas kejadian tersebut,” kata Gatot. – Reuters

Share.

About Author

Leave A Reply