Thursday, April 25

Singapura Akan Bekukan Pertambahan Kereta

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

SINGAPURA – Singapura yang merupakan salah sebuah negara paling mahal di dunia untuk membeli kenderaan mengumumkan ia akan membekukan jumlah kereta persendirian di jalan raya mulai 2017, namun akan meluaskan penggunaan pengangkutan awam.

Siling pertambahan jumlah kereta dan motosikal akan dipotong daripada 0.25 peratus setahun hingga sifar bermula Februari tahun depan, kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA).

Negara yang mempunyai 5.6 juta penduduk itu menetapkan kuota untuk penjualan kenderaan dan jumlah kenderaan di jalan raya bagi mengelak kesesakan lalu lintas seperti yang berlaku di negara-negara Asia lain.

Singapura juga mengenakan caj tinggi kepada pembeli kenderaan dengan mereka wajib mendapatkan ‘sijil pemilikan’ yang sah untuk tempoh 10 tahun dan berharga kira-kira Sg$50,000 (RM156,639).

Caj tersebut mengakibatkan sebuah kereta sedan Toyota Corolla Altis berharga sehingga Sg111,000 (RM345,000) di Singapura atau kira-kira empat kali ganda harga di Amerika Syarikat.

Setakat tahun lalu sahaja, terdapat lebih 600,000 kereta persendirian di Si­ngapura.

Tiada jadual ditetapkan untuk pembekuan tersebut, namun bilangan bas dan kenderaan pengangkutan barang akan dibenarkan untuk terus bertambah.

Menurut LTA, pemerintah Singapura akan memperuntukkan sebanyak Sg28 bilion (RM87.02 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memperluaskan dan menambah baik sistem pengangkutan awam termasuk perkhidmatan metro yang berdepan kritikan kerana kerap rosak. – AFP

Share.

About Author

Leave A Reply