Thursday, August 22

Virgoun Harap Surat Cinta Untuk Starla Dapat Tempat Di Malaysia

Google+ Pinterest LinkedIn Tumblr +

Pendengar di Malaysia mungkin tidak cukup kenal Virgoun namun penyanyi ini mencipta fenomena sendiri di negara kelahirannya Indonesia kerana menjadi video muzik tempatan pertama Indonesia yang ditonton sebanyak 100 juta kali di laman YouTube.

Mempertaruhkan lagu hitsnya berjudul Surat Cinta Untuk Starla dalam promosi di Malaysia, beliau berharap muziknya diterima baik dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sepertimana di Indonesia juga.

Surat Cinta Untuk Starla merupakan sebuah lagu dicipta khas untuk anak perempuannya, Starla Rher Idola yang merupakan anak tunggalnya dengan isteri setelah bernikah selama empat tahun.

Selepas kejayaan lagu tersebut ia diangkat menjadi filem Surat Cinta Untuk Starla dan Virgoun turut menulis runut bunyi bagi filem berkenaan.

Menariknya mengenai penyanyi yang juga anggota kumpulan Last Child, dia yang berpendidikan dalam bidang kejuruteraan bunyi mempunyai  gaya signature muzik tersendiri iaitu menggunakan instrumen luar biasa di dalam setiap lagu ciptaannya.

Di dalam lagu Surat Cinta Untuk Starla ini dia menggunakan bunyi mesin taip sebagai instrumen sokongan dan menurutnya dia memang suka tampil dengan keunikan lagu sendiri.

Ketika ditanya pengetahuannya mengenai muzik Malaysia, Virgoun, 31, mendedahkan dia sebenarnya membesar dengan lagu-lagu dari Kumpulan Iklim, Exist, Slam, Ella dan Nora.

“Saya membesar mendengar banyak lagu, termasuk lagu-lagu Malaysia. Saya gemar mendengar lagu kumpulan Iklim, Exist, Slam, Ella dan Nora.

“Melihatkan lirik lagu mereka, semuanya menggunakan laras bahasa yang indah serta puitis. Saya gemarkan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis lirik Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan lirik-lirik lagu zaman kini, banyak bahasa lebih mudah serta bahasa campuran digunakan,” kata Virgoun ketiksa ditemui di majlis memperomosikan lagu Surat Cinta Untuk Starla di Redbox Plus, Pavillion, Kuala Lumpur.

Tambah Virgoun, dia juga menggemari lagu Jampi nyanyian penyanyi Hael Husaini.

“Saya pernah berkongsi pentas dengan Hael sewaktu persembahan di Anugerah Planet Muzik 2017 tempoh hari.

“Saya benar-benar menyukai sentuhan Hael dalam lagu Jampi. Biarpun asas lagu itu ada irama balada, lagu tersebut mempunyai gabungan muzik elektronik di dalamnya. Liriknya juga bagus,” katanya lagi.

Menurut Virgoun jika diberi peluang dia ingin berduet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana Siti masih kekal popular dan karya Siti Nurhaliza diperdengarkan di mana-mana sahaja di Indonesia sehingga kini. –KLICK.MY

Share.

About Author

Leave A Reply